Fadhilat Puasa Enam

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun” (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa).

Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Waktu Afdal

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Ganjaran

Di dalam hadis tadi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawwal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.
 

Bolehkah puasa qadha dan puasa enam digabungkan ?

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha’ dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan pausa yang satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha’ dan puasa enam dengan berniat puasa qadha’ dibulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha’ terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qadha’ adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha’ sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qadha’ yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawwal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawwal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang benriat kedua-duanya sekaligus.
 
Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardhu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qadha’ akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha tuhannya.

Persoalan seterusnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa secara berasingan di antara puasa enam dan puasa qadha’, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah di dalam kes ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai? Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi iaitu salah seorang ulama AL-Azhar menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawwal sahaja. Adapun puasa qadha’, seseorang itu bebas melakukan di dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha’ di bulan Sya’ban dan diperakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Samada ingin menggabungkan puasa enam dengan puasa yang lain atau ingin melakukannya secara berasingan, itu terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Apa yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Amin.

About zah

Bukan insan luarbiasa.
This entry was posted in SELFHELP. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s